Isnin, 5 Mac 2018

Tempat Menarik Di Kundasang Sabah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera untuk semua yang datang ke blog ini . Hari ini saya ingin berkongsi serba sedikit info tempat-tempat menarik untuk anda berkunjung ke Kundasang Sabah . Dah banyak kali dah pergi Kundasang tapi tidak semua tempat saya berkesempatan untuk pergi. So ! Insya Allah lain kali dapat pergi lagi . banyak tau tempat baharu yang lebih menarik untuk dikunjungi. Antara tempat- tempat yang menarik ialah .... jeng jeng jeng .... 1. Hounon Ridge Farmstay & Camping
Tempat ini sangat terkenal dengan suasana dan persekitarannya yang seakan-akan pengunjungnya berasa seperti berada di luar negara. Hounon Ridge Farmstay & Camping sememangnya sinonim dengan udaranya yang sejuk, panorama indah, rumput menghijau dan pemandangan yang indah terutama pada waktu petang memang sukar untuk dilupakan. Jika anda ingin bersantai dan berehat bersama keluarga atau pasangan, inilah tempat yang paling sesuai untuk anda. Anda pasti merindui tempat ini jika pernah berada dan menginap di sini. Berkemah ? ya, Hounon Ridge Farmstay juga menyediakan tapak perkemahan serta kemudahan asas yang lengkap untuk aktiviti camping anda. Kemudahan asas seperti peralatan berbeku, pondok khas untuk membasuh pinggan dan sebagainya serta meja juga disediakan. Walaubagaimanapun, anda perlu membuat tempahan dengan lebih awal disebabkan tempat ini biasanya penuh terutamanya pada musim cuti persekolahan atau cuti umum. 2. Mongolian Yurt Wind Paradise Lodge
Mongolian Yurt Wind Paradise merupakan pusat penginapan yang terletak di puncak dan lereng bukit di Kundasang. Untuk sampai ke tempat ini anda perlu melalui Jalan Kundasang Kauluan dengan mengambil masa lebih kurang 10 minit perjalanan dengan memandu kereta. Lokasi Mongolian Yurt adalah lebih kurang 3.6 kilometer dari Pekan Kundasang. Bagi mendapatkan lokasi dengan terperinci sila klik ke pautan berikut: Mongolian Yurt Wind, Kundasang. Tempat ini merupakan pusat penginapan yang unik kerana bentuk penginapan adalah seperti Mongolian Yurt. Kawasan penginapan yang strategik iaitu di puncak dan lereng bukit menjadikan tempat ini cukup menarik, sesuai serta sering ditiupi angin yang nyaman dan sejuk. Tempat ini sangat sesuai bagi mereka yang inginkan suasana pergunungan dan kelainan dari aspek penginapan. Anda tidak perlu memandu ke pekan berdekatan disebabkan tempat ini juga menyediakan pelbagai bentuk menu makanan dengan harga yang berpatutan. 3. Kinabalu Private Lodges
Bagi anda yang gemarkan suasana di hutan, bunyi cengkerik dan serangga hutan serta cuaca yang sejuk dan nyaman, maka Kinabalu Private Lodges sangat sesuai untuk anda. Pusat penginapan ini terletak lebih kurang 8.6 kilometer daripada Pekan Kundasang menuju ke Kota Kinabalu. Antaranya ialah jungle trekking dan juga berbeku bersama rakan ataupun keluarga. Kinabalu Private Lodges terletak berhampiran Kampung Bundu Tuhan, Kundasang. Tempat yang cukup indah, berkabus serta dihiasi dengan bunga-bungaan dan pokok menghijau menambahkan lagi keindahan kawasan pusat penginapan ini. Pasti anda akan merindui suasana malam di tempat ini kelak setelah meninggalkannya kelak. 4. Timpohon Gate, National Park
Pemandangan dari atas . Bagi anda yang ingin mengunjungi Taman Kinabalu atau Kinabalu National Park, Kundasang, ambil sedikit masa anda untuk mengunjungi Timpohon Gate, di sini lah bermulanya titik permulaan perjalanan untuk sampai ke puncak Gunung Kinabalu. Walaupun anda tidak berniat untuk mendaki, anda boleh pergi ke tempat ini untuk mengambil gambar kenangan. Luangkan sedikit masa anda untuk meninjau laluan trek untuk sampai ke puncak Kinabalu kerana mungkin pada suatu hari nanti anda berpeluang untuk mendaki gunung yang tertinggi di Malaysia. 5. Desa Cattle Dairy Farm
Sememangnya Desa Cattle Dairy Farm merupakan pusat pelancongan utama di Kundasang Ranau, Sabah. Lokasi tempat ini adalah lebih kurang 6 km dari Pekan Kundasang dengan melalui Jalan Cinta Mata Mesilou. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan disini termasuklah melihat bagaimana pemprosesan susu lembu, memberi makanan kepada anak lembu dan kambing, melihat proses pemerahan susu lembu dan sebagainya. Anda juga boleh membeli susu lembu segar dan makan makanan atau produk berasaskan susu lembu di tempat ini. Selain itu, kawasan persekitaran yang mempersona dengan udara yang segar, nyaman dan sejuk menjadikan kawasan ini menjadi daya tarikan utama di Kundasang. Yuran masuk diperlukan bagi pelawat di pintu masuk utama. Biasanya, tempat ini amat sesak terutamanya pada waktu cuti sekolah. 6. Maruku Cabin Lodge
9 Anda masih tercari-cari tempat penginapan yang sesuai ? inginkan penginapan yang unik ? Maruku Cabin Lodge mungkin sesuai untuk anda. Kos penginapan yang ditawarkan adalah serendah RM 120 untuk 2 orang. Terdapat juga cabin yang boleh memuatkan 8 orang pengunjung dengan kadar yang berpatutan. Apa yang menarik di kawasan ini ? selain daripada rekabentuk penginapan yang unik udaranya juga sejuk dan nyaman. Anda boleh menikmati pemandangan penuh Gunung Kinabalu, puncak tertinggi di Asia Tenggara. Jarak dari pekan Kundasang ke Maruku Cabin Ldge ialah lebih kurang 19 km. Untuk sampai ke sini anda boleh menggunakan Google Map sebagai panduan atau kunjungi sahaja pautan ini. Infosantai telah sediakan panduan untuk anda. 7. Dream World Resort Kundasang
Dream World Resort dikenali ramai disebabkan persekitarannya yang begitu mempersonakan terutamanya pada waktu petang. Berlatarkan Gunung Kinabalu, suasana sekeliling yang ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan menghijau, terletak di lereng bukit serta udaranya yang sejuk dan nyaman melengkapkan lagi daya tarikan di tempat ini. Jika anda pernah pergi ke tempat ini, mungkin pada percutian akan datang, tempat ini akan jadi pilihan penginapan utaman anda. Jika anda menginap di tempat ini, jangan sia-siakan waktu senja anda. Nikmatilah waktu tersebut kerana suasana diwaktu petang dan senja mungkin jauh berbeza dengan apa yang anda pernah alami sebelum ini. Namun begitu, anda perlu membuat tempahan dengan lebih awal disebabkan penginapan di Dream World Resort adalah terhad terutamanya pada musim cuti sekolah. 8. Gerai Sayur Tepi Jalan Kundasang
Gerai sayur yang terletak di tepi jalan Pekan Kundasang sememangnya terkenal dengan sayur-sayuran yang cukup segar. Juga terdapat buah-buahan seperti strawberi dan buah markisah serta keropok yang dijual di sini. Harga yang ditawarkan sangat berpatutan. Bagi mereka yang menginap di homestay di sekitar Kundasang, bagaimana kalau anda mendapatkan sayur-sayuran ini dan memasaknya sendiri di homestay ? Pasti perbelanjaan anda akan dapat dijimatkan berbanding dengan makan di restoran berhampiran. Atau anda boleh juga membeli sayur di hari terakhir anda berada di tempat menarik ini dan membawanya sebagai buah tangan untuk rakan atau ahli keluarga anda. 9. Kinabalu National Park, Kundasang
Kinabalu National Park dilengkapi dengan penginapan, trekking untuk aktiviti sukan atau bersiar-siar, pintu utama ke puncak Gunung Kinabalu, restoran, pusat maklumat dan sebagainya. Kinabalu National Park dikategorikan sebagai tempat yang menarik disebabkan banyak aktiviti yang anda boleh lakukan disini. Antaranya ialah bersantai di pondok-pondok yang telah disediakan, berjalan kaki ke kawasan air terjun, jungle trekking, melihat atau mengunjungi pusat maklumat taman kinabalu dan sebagainya. Tempat ini merupakan tempat yang menjadi tumpuan ramai pelancong terutamanya pada musim cuti. Tidak hairanlah jika tempat ini sentiasa sesak dan dikunjungi oleh orang ramai dari dalam dan luar negara. Anda wajib mengunjungi tempat ini jika berada di Kundasang kerana ianya merupakan salah satu pusat tarikan utama di Daerah Ranau khasnya. Lokasi Taman Kinabalu adalah terletak di perantaraan jalan Tamparuli-Ranau. Ianya mengambil masa lebih kurang 11 minit pemanduan dengan jarak kira-kira 7 km dari Pekan Kundasang. 10. Strawberry Dan Rose Garden Kundasang
Jika anda berada di di Pekan Kundasang, selain dari War Memorial Park, Strawberry dan Rose Garden juga merupakan taman yang menarik untuk dilawati. Kawasan ini betul-betul berhadapan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Kundasang, Ranau. Kawasan kebun strawberi dan bunga di sini agak luas. Anda boleh melihat bagaimana kaedah penanaman strawberi dan melihat buah strawberi yang sedang masak ranum. Pelbagai jenis bunga ros juga ditanam di sini. Terdapat juga bunga-bunga lain seperti bunga matahari, kaktus,lily dan sebagainya. Jangan lepaskan peluang anda untuk mengunjungi tempat ini dan bawalah kamera anda bersama-sama. Disini, anda juga boleh mendapatkan buah strawberi yang segar, anak pokok bunga dengan harga yang sangat berpatutan. 11. Kundasang Mount Valley Recreation
Mount Valley Recreation merupakan tempat ataupun pusat rekreasi yang masih baru lagi dan belum dikenali ramai. Jika anda berada di Pekan Kundasang menuju ke Taman Kinabalu atau Kinabalu National Park, tempat menarik ini adalah lebih kurang 500 meter sebelum sampai ke simpang masuk ke Kinabalu National Park. Amat mudah untuk mengenali tempat ini, anda hanya berpandukan tayar berwarna-warni di lereng bukit yang boleh dilihat dari jalan utama. Aktiviti utama adalah sukan “flying fox”. Pasti aktiviti ini amat diminati terutamanya bagi mereka yang sukakan aktiviti lasak. Nikmatilah pemandangan sekeliling semasa anda sedang beraksi dengan “flying fox”. Buat masa ini, bayaran yang dikenakan adalah RM 25 seorang. Walaubagaimanapun, aktiviti ini tidak akan dijalankan jika dalam keadaan cuaca yang kurang baik seperti hujan, guruh dan berangin bagi mengutamakan keselamatan pelawat. 12. Kiram’s Village, Jalan Mesilau Golf Club, Kundasang
Kiram Village terletak di Kampung Mesilou iaitu menggunakan jalan yang sama ke Mesilou Nature Resort. Tempat ini merupakan salah satu pusat menginapan yang menyediakan penginapan berbentuk bilik dan chalet. Walaupun tempat ini agak jauh dari Pekan Kundasang, tempat ini sangat menarik dimana ditumbuhi dengan pelbagai jenis bunga, jambatan kecil serta udara yang nyaman dan segar. Restoran juga disediakan di tempat ini. Tempat ini amat strategik kerana anda boleh mengunjungi tempat menarik yang berdekatan iaitu, Mesilou Nature Resort dan Desa Cattle Dairy Farm. 13. Kundasang War Memorial
Tempat ini memang tidak asing lagi terutamanya bagi penduduk setempat di Kundasang. Tempat ini merupakan tempat bersejarah dimana bagi memperingati jasa pahlawan yang terkorban semasa peperangan di suatu ketika dahulu. Kundasang War Memorial terletak di puncak bukit berdekatan dan sangat hampir dengan Pekan Kundasang. Anda hanya perlu berjalan kaki untuk mengunjungi tempat ini jika anda berada di sekitar Pekan Kundasang. Jangan lupa membawa kamera bersama-sama anda untuk mengabadikan gambar kenangan bersama keluar atau orang tersayang dan mungkin bersama-sama rakan-rakan anda. Tempat ini sememangnya cantik, dihiasi dengan pelbagai bunga-bungaan, tanda peringatan serta udara yang nyaman dan sejuk. 14. Sosodikon (Pyramid) Hill, Kundasang
Bagi mereka yang meminati aktiviti lasak seperti mendaki, maka Sosodikon Hill atau Bukit Sosodikon merupakan salah satu tempat yang sesuai untuk anda. Sosodikon Hill terletak lebih kurang 5 km dari Pekan Kundasang. Untuk sampai ke bukit ini, anda perlu menggunakan jalan yang sama ke Desa Cattle Dairy Farm dan Mount Kinabalu Golf Club. Bukit Sosodikon terletak di sebelah kanan simpang ke Desa Cattle Dairy Farm. Anda perlu meletakkan kereta di tepi jalan dan berjalan kaki dalam lebih kurang 1.5km untuk sampai ke pintu masuk Bukit Sosodikon. Kemudian, pendakian sebenar adalah lebih kurang 20 minit dengan berjalan kaki. Yuran masuk hanyalah RM 3.00 sahaja. Apa yang menanti anda di puncak adalah bukit yang seolah-olah berbentuk piramid. Anda pasti terhibur sepanjang perjalanan kerana kiri dan kanan anda ditumbuhi dengan tumbuh-tumbuhan menghijau dan memukau penglihatan. 15. Tagal Luanti
Tagal' Luanti merupakan sebuah sungai yang menjadi lokasi pelancongan kerana terkenal dengan spa ikan yang terdapat di sini. Berbeza dengan ikan-ikan lain yang takut dengan manusia, ikan-ikan di sungai ini amat suka dengan manusia. Sebaik memasukkan kaki anda ke dalam sungai, ikan-ikan ini akan mula "mengurut" kaki anda sambil memberi makanan ikan kepada ikan-ikan ini. 16. Kolam Air Panas Poring
Kolam Air Panas Poring merupakan sebuah lokasi pelancongan yang sangat terkenal dalam kalangan rakyat tempatan Sabah dan juga pelancong asing. Menariknya, air panas yang disediakan adalah air panas yang terhasil secara semulajadi dari bawah tanah. Lokasi ini juga terkenal kerana terdapatnya beberapa tempat menarik yang berada di lingkungan kawasan ini. Antaranya adalah seperti Air Terjun, Taman Kupu-Kupu dan Jambatan Kanopi. Anda juga berpeluang melihat tumbuhan Rafflesia yang tumbuh di kawasan ini. 17. Ladang Tea Sabah
Ladang Teh Sabah adalah satu-satunya ladang teh organik di Kepulauan Borneo dan juga seumpamanya di seluruh dunia. Berbeza dengan suhu yang dingin di Kundasang, suhu di ladang teh organik ini agak panas. Tapi apa yang penting adalah ilmu pengetahuan dan pengalaman yang anda boleh dapat apabila melawat ladang teh ini. Ketika berada di ladang teh ini, anda boleh melawat ladang teh organik, melihat pemprosesan teh dan juga membeli pelbagai produk keluaran ladang ini. 18. Ranau Paragliding Park
Aktiviti paragliding juga terkenal di Daerah Ranau dan dijalankan di Ranau Paragliding Park yang terletak 6 km dari Pekan. Paragliding merupakan sebuah aktiviti meluncur di udara menggunakan payung terjun lebar setelah berlari atau melompat dari sebuah lokasi yang tinggi. Kawasan Ranau yang berbukit menjadikannya lokasi yang sesuai untuk aktiviti ini. Terdapat lagi banyak tempat yang menarik di Kundasang Ranau untuk anda kunjungi bersama keluarga dan rakan khasnya di kawasan Kundasang Ranau. Senarai tempat menarik yang saya kongsikan ini adalah tidak lengkap dan mempunyai sebarang kesilapan. Namun , saya berharap sebarang kesilapan dan kekurangan entri saya kali ini boleh menjadi info menarik untuk anda. Sebarang kekurangan dan makluman yang boleh dikongsi sila komen di ruangan dan share jika anda menyukai artikel ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TIPS KURUSKAN BADAN DENGAN BERKESAN

CARA KURUSKAN BADAN Biasanya, banyak tips hanya menjurus kepada, bagaimana untuk kuruskan badan sahaja. Banyak tips kuruskan badan secara...